HUKUM BERMAIN DAUN TERUP
SOALAN:
Apakah hukum bermain daun terup sekiranya
tiada pertaruhan. Ada ustaz yang mengatakan hukumnya haram kerana daun terup
merupakan peralatan yang direka khas untuk permainan judi. Apakah pandangan
Jabatan Mufti? Terima kasih.
JAWAPAN:
Para ulama
bersepakat bahawa setiap permainan yang dilakukan dengan perjudian adalah
haram, iaitu permainan di mana salah seorang akan mendapat keuntungan sementara
seorang lagi akan mendapat kerugian, kerana ia termasuk dalam perintah
menjauhinya sebagaimana firman-Nya:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ
وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ
تُفْلِحُونَ
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang
beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi
nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari
perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.
(al-Maidah: 90)
Adapun
permainan daun terup yang tidak ada sebarang pertaruhan, hukumnya tidak dibenarkan
kerana ia melalaikan manusia daripada mengingati Allah dan solat serta membuka
jalan ke arah perjudian sebagaimana yang diharamkan di dalam al-Quran.
Permainan ini juga dikaitkan dengan permainan orang bukan Islam. Ia juga tiada
sebarang kebaikan dari segi aktiviti rekreasi, tidak diajar sebarang kemahiran
yang diperlukan di dalam jihad atau memberikan apa-apa pengetahuan yang berguna
atau berfaedah kepada masyarakat atau menenangkan hati. Ia hanyalah permainan
yang tiada kebaikan serta membuang masa semata-mata.
Syeikh Ibn
Hajar al-Haithami dan Syeikh Muhammad Ibn Saalih al-Uthaimin berpandangan
bahawa penegahan ini lebih menjurus ke arah haram berbanding makruh kerana
dilihat pada hukum bermain dadu, yang mana kedua-duanya bergantung kepada nasib
dan boleh membawa kepada pergaduhan, benci-membenci serta melalaikan.
Disebutkan dalam sebuah hadis Nabi SAW:
عن أبي موسى
الأشعري ، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم ، قال :
" من لعب بالنرد فقد عصى الله ورسوله
"
Maksudnya:
“Sesiapa yang bermain dadu,
maka dia telah menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya”. (Riwayat Abu
Daud dan Ibn Majah – Hasan)
No comments:
Post a Comment